Friday 28 November 2014

~ Antara Pasir dan Krim ~


ANTARA PASIR DAN KRIM

 
Artikel ini ditujukan kepada warga pelajar di UK khususnya, dan kepada mana-mana pelajar Malaysia yang sedang belajar di luar Negara amnya.
------------------------------------------------------------------------

Selamat datang ke Kerajaan yang Bersatu (United Kingdom, UK)!

Anda telah diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran tertiari di sini!

Bukan senang nak datang sini, dapat belajar dengan Mat Saleh.

Hidup dalam persekitaran yang berbeza daripada biasa.

Belajar cakap “wa’er, cheers, howdy, mate” dengan accent Malaysia.

 

Seronoknya kalian berada di sana. Mesti hidup pun lain, kan?

… Atau sama sahaja.

 



 

Antara beratus-ratus pemohon yang mahu memasuki Universiti di UK, sama ada melalui UCAS, referral atau pemohonan secara terus, anda telah diterima oleh pihak Universiti.

Ini bermakna anda berhak untuk berada di sini. Buktinya, hasil pencapaian anda dalam peperiksaan A-Level, International Baccalaureate (IB), Matrikulasi dan Diploma yang cemerlang melayakkan anda untuk meneruskan perjalanan anda sebagai seorang pelajar.

Anda adalah crème of the crème, pelajar terbaik daripada sekolah rendah, sekolah menengah dan kolej. Sijil PMR dan SPM anda memaparkan bilangan A yang diperolehi. Ada yang dapat straight A, ada yang  10+A, ada yang dapat anugerah. Ada yang dapat tajaan.

Tahniah saya ucapkan.


Hakikatnya, saya sendiri pun tak sehebat anda, apatah lagi dapat anugerah.  Anugerah Pelajar Terbaik, Anugerah Dekan. Anugerah Sportsman.

 

Baru-baru ini, saya menghadiri Nottingham Malaysian Games (NMG) 2014. Dapat bertemu rakan sekolah menengah, kawan baik, rakan sekolej, teman sepengajian dan teman sepermainan, adalah perkara yang epik. Melihat peserta bermain congkak, futsal dan badminton sedikit sebanyak menghilangkan kerinduan saya terhadap sukan di Malaysia. Nasi Lemak, antara menu paling laku sewaktu Pesta Makanan dijalankan.Ketika berada di dalam kereta api menuju pulang  ke rumah, saya menerima satu notifikasi dari rakan baik, A di FB.

 

Tapi sayangnya, saya terkilan pabila membaca statusnya. Terkejut. Dagu terlopong, badan terkaku. Bukan apa.

 

‘Malaysia Truly Asia’.

Disertakan beberapa gambar sampah merata-rata tempat. A (bukan nama sebenar) memaparkan imej berkenaan sebaik sahaja acara NMG tamat.

 





 

Sedih, dan kecewa.

 

A bekerja sebagai pembantu sukarela untuk acara NMG. Dia ditugaskan selepas acara sukan, jadi tidak ramai tahu akan hal ini. Dia mengutip sampah di sekeliling Universiti, padang dan lokasi acara.

 

Hakikatnya, tong sampah disediakan dengan banyaknya di sekitar lokasi acara sukan. Yang menyedihkan, ada bungkusan makanan yang dibiarkan di atas meja, seolah tuannya tinggalkan begitu sahaja.

 

Yang pasti, ini bukan salah penganjur. Tapi salah mereka yang berbuat demikian. Meskipun berada di UK, sikap seperti ini tidak harus dibawa sekali. Mentaliti pelajar, nampaknya, tidak cukup matang.

Namun, ini bukanlah satu blame game. Tapi satu refleksi buat kita semua.

 

Maka, saya terpanggil untuk membuat satu wake-up call kepada para pelajar di UK (Kerajaan yang Bersatu). Dan hasilnya, saya menulis artikel ini, berdasarkan beberapa bacaan ilmiah dan diskusi sesama rakan.

 

Terdapat beberapa isu yang saya ingin ketengahkan, iaitu tentang 3S (Sampah, Sapa, Sosial).

 

1. Sampah.

Isu ini telah saya huraikan di atas. Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Nak kata tiada tempat, penganjur sudah letakkan dustbin besar. Beg plastik pun boleh ditukar dan diisi semula. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.

 


Malah, Jepun telah mewajibkan murid sekolah rendah untuk mencuci tandas (tak tipu, tandas!) 15-20 minit sehari. Maka, tak hairanlah kalau anda tidak menjumpai sampah merata-rata di UK. Malah, kerajaan Singapura memberi denda hingga sebanyak $2,000 kerana membuang sampah merata-rata.

 

Kesannya: Masyarakat Malaysia dilabel sebagai pengotor. Pihak penganjur terpaksa membayar denda atas sampah yang anda bunag merata-rata tempat. Tidak mencerminkan identiti pelajar Malaysia yang dikenali dengan kebersihannya (Sebab itu kalian mudah mendapat rumah untuk disewa dari tuan tanah, berbanding dengan pelajar lain. Parti tak ingat dunia. Bersepah merata.)

 
Jadi, apa alasan anda? Saya yakin andalah bakal pemimpin masa akan datang. Anda memiliki minda kelas pertama, bukan?  Hati dan jiwa yang bersih lahir daripada persekitaran yang bersih, kan?

 

2. Sapa, Bertegur sapa

Isu ini tidak sesensitif isu kandungan DNA babi dalam Cadbury atau Kampung Chubadak, namun saya kira ini isu identiti. Lagi-lagi, bila ia melibatkan sapaan yang terpantul 45 darjah ke tanah. Saya sendiri mengalami isu ini.

 

Situasi (contoh):

Saya terserempak seorang Malaysian (saya yakin, kerna kulit sawo matang dan firasat). Saya senyum, sambal berkata: “Selamat petang!”. Dia (pelajar itu) seakan tidak sedar, lalu berjalan melepasi bahu kiri saya begitu sahaja. Senyap. Tiada reaksi.

 

Tunduk malu, agaknya.

 

Kejap, dia itu lelaki.

 

Seolah-olah sapaan saya terpantul/ terbias sejauh 45 darjah ke arah kasutnya. Tiada respons. Nak kata saya tak lantang berkata, saya yakin suara saya dapat didengari  dari satu jarak yang agak jauh.

 

Ya, itu dia. Begitu ramai pelajar Malaysia di sesebuah tempat. 500-1000 orang bilangannya, dan semakin bertambah.

 

< Penulis menarik nafas >

 

Sampaikan bagi salam kepada pelajar Muslim, pun tiada balas. Maafkan saya, tapi ketidak endahan anda merisaukan saya. Sehinggakan salam itu terpantul /terbias ke tudung, ke baju atau ke lantai.

 

Bukan apa.

 

Saya takut anda, sebagai pemimpin masa depan, bersikap sedemikian. Ekspresi muka yang statik, tak ubah macam patung, apabila bertemu rakyat.  Hanya sepatah dua perkataan dapat didengari. Anda akan jadi macam ‘Yes Man’.

 

Kalau anda segan untuk bertanya sapa atau memberi salam, senyum pun jadilah. Asalkan identiti diri bahawa orang Malaysia kaya dengan hemat akhlak dan budi bicaranya hilang di mata antarabangsa tidak hilang begitu sahaja.

 

Bahasa jiwa bangsa. Bukankah begitu?

 

Jangan sampai ada yang lemah/ bosan sehingga berkata:

“ Kau tahu tak, malas la aku nak sapa diorang. Bukan diorang balas pun. Buat der je. Aku pun rasa  annoyed. Baik tak layan diorang.”

 

Come on la, hidup ini kita perlu bekomuniti, bukan bersendiri. Kan?

 

3. Sosial.

Saya kira setiap pembaca memiliki satu akaun MukaKitab (FaceBook, FB). Macam-macam jenis pos saya temui di ruang maya MukaKitab.Ada yang bersifat ilmiah, ada yang bebentuk peribadi, ada yang berjela-jela komen dan pendapat, ada yang memberi nasihat atau motivasi, dan ada juga yang mengutuk/ mengaibkan seseorang.

 

Saya kira MukaKitab itu bukan lagi satu ruang privasi. Maka, tidak hairanlah jika ada kalanya saya terbaca pos rakan saya dari UK yang bertujuan memburukkan nama negara.

 

Kejap, saya sebut ‘memburukkan’?

 

Mungkin’ memalukan’ atau ‘menjatuhkan’ lebih jitu maknanya dalam konteks ini.

Ada juga pos yang saya baca berunsur politik, kekauman, sensitiviti agama dan penghinaan.

 

Contohnya? Cari sendiri. Saya malas nak menyebut satu-persatu. Anda boleh selidik sendiri. Banyakkan membaca berita, surat khabar. Buku dan jurnal juga berguna sebagai rujukan. Sertai diskusi ilmiah yang sihat. Kita ada salurannya, Cuma perlu individu seperti anda mampu memberi penjelasan dan penyelesaian.

 

Saya tahu anda tak suka kerajaan. Jadi, apa langkahnya? Anda belajar bersungguh-sungguh, agar andalah yang mengubah kerajaan sedia ada.

 

Bentukkan masa depan negara mengikut profession masing-masing. Setiap orang ada peranannya yang tersendiri.

 





Kuncinya di sini, jadikanlah ruang sosial maya sebagai platform untuk meningkatkan mutu pemikiran kritikal anda, bukannya bergaduh atas komen yang remeh temeh.

Anda bukannya pasir, yang banyak bilangannya tapi kurang inputnya. Sekali kena air, terus hilang kesan ‘lukisan kehidupan’. Lupa jati diri. Lupa asal usul.
 

Ketahuilah, anda ibarat krim, lemah lembut dan mesra dalam budi bicara. Tidak lekat dengan perbezaan tempat, tapi cepat meresap dalam hati. Walaupun suhu yang panas mencairkan anda, tapi anda tetap cool dan beretika sepanjang masa.

Jadi, anda sekarang ibarat pasir, atau krim? 

Syukur Malaysia masih aman makmur.


 

Haniff Nasir

28.11.2014, 00:00

Ardwick, Kerajaan yang Bersatu

 

P/S: Sila berikan respons anda di bawah. Komen jangan tak komen!

Apendiks: Status asal berkenaan:
 


 

Friday 17 October 2014

~ Shipping di UK ~

Assalamualaikum w.b.t.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Selawat dan salam ke atas Nabi Junjungan Muhamad SAW, Penghulu segala Nabi.
 

*****

Berikut adalah salah satu bab bersiri untuk projek 'Living in UK For Dummies: For Malaysian, By Malaysian'


#JSM 2 - BAB XX: SHIPPING DI UK

 (Bahagian 1)

Pernah tak anda teringin untuk membeli barang, tapi malas untuk pergi ke kedai?

Atau ingin menghantar barang (terutamanya ke Malaysia) dengan cepat dan selamat?

Jawapannya ialah….

‘SHIPPING’ atau ‘DELIVERY’






Tak kira sama ada ‘Penghantaran Dalam Talian (Online Shipping) atau Penghantaran Udara (Air Shipping), tujuannya sama, iaitu supaya barangan yang dihantar oleh penghantar, selamat tiba di tangan penerima.

Saya akan menceritakan serba sedikit tentang khidmat shipping di Kerajaan Yang Bersatu (UK). Artikel penuh akan disiarkan dalam buku (mohon tembakan doa kalian).

(A) Online Shipping

Seperti khidmat pos laju, hampir kesemua pasaraya dan kedai berjenama di sini menawarkan khidmat penghantaran dalam talian. Contohnya: Pasaraya (Tesco, Asda), Pakaian (Primark, Sports Direct), Makanan (JustEat), Kasut (Clark) dan Barangan Rumah (Argos).

Bagaimanakah caranya? Mudah sahaja.

1. Senaraikan barang yang ingin dibeli.

2. Layari laman web syarikat/ tempat/ pasaraya/ kedai berkenaan.

3. Cari barangan, dan pilih kuantiti/ jenis yang ingin dibeli.

4. Berikan nama dan alamat anda sebagai penerima.

5. Bayar melalui online payment (ada artikel tentang ini)

6. Senyum. Tunggulah sehingga barangan sampai.

 

Kebanyakkan online shipping/ delivery mengambil masa yang tertentu. Ada yang menggunakan 1DD: ‘One Day Delivery’. Ada yang mengambil masa sehingga seminggu dua. Selalunya, tempoh / penghantaran barangan ialah 2-5 hari. Bergantung kepada syarikat/ pasaraya/ kedai, ada di antara mereka yang memerlukan anda membayar untuk khidmat penghantaran mereka. Ada pula yang percuma. Ada pula yang akan jadi percuma jika anda membeli barangan melebihi nilai tertentu; konsep ini dikenali sebagai Price-Limit Delivery.



Di Malaysia, sistem ini juga diguna pakai.

Akan tetapi, terdapat satu kelebihan di sini, Kerajaan yang Bersatu.

Mereka (selalunya) memperkenalkan konsep refund, atau gentian.

Sekiranya, jika anda tidak bernasib baik, barangan yang anda terima rosak atau tidak sempurna keadaaanya, anda boleh memulangkan semula barangan itu, mengikut alamat yang diberikan.

Ada yang memerlukan anda membayar kos penghantaran semula. Ada pula yang free refund.

<Di Malaysia mana ada free refund!>

 

(B) Air Shipping/ Freight Shipping

Sekiranya anda ingin menghantar barang (contohnya: Beg kulit berjenama Prada kepada ibu, Kasut kulit Clark kepada ayah, atau baju tebal Primark kepada adik) di Malaysia, inilah caranya.

Selalunya, ia bergantung kepada kecepatan anda ingin barang itu diterima di Malaysia. Lebih cepat tempohnya  (lebih singkat waktu penghantaran), lebih mahal kos penghantaran (shipping cost).

Penghantaran utara (air shipping) selalunya mengambil masa 1-2 minggu. Ada juga yang sehingga sebulan.  Manakala, penghantaran kargo (freight shipping) mengambil masa yang agak lama, iaitu sekitar 1-2 bulan. Lebih teruk, ada juga yang 3 bulan lamanya.

Bagaimanakah caranya? Mudah sahaja.

1. Senaraikan barang yang ingin dihantar

2. Layari laman web syarikat shipping berkenaan.

3. Nyatakan kuantiti (berat barangan, atau bilangan kotak) yang ingin dihantar. Sertakan nota kecil pada setiap barang, supaya mereka (yang menghantar) tahu siapa penerimanya.

4. Berikan butiran anda (nama, no tel, alamat) sebagai penghantar dan butiran penerima. Sila teliti nombor siri, atau rujukan penghantaran. Perkara ini mungkin dapat menyelamatkan dan memudahkan urusan ganti rugi (jika didapati shipping tidak berjaya).

5. Bayar melalui online payment atau ­instant cash.

6. Jejak shipping anda (jika boleh), sama ada melalui aplikasi, atau bertanyakan penerima.

 

Berikut merupakan senarai syarikat/ nama yang menyediakan khidmat shipping UK ke Malaysia:-

1. Edaran Express.

2. PAL Shipping

3. Individual (Mira D, Anuar Majid)

4. Royal Mail (Post Office)

5. Syarikat kurier, seperti (DHL, FedEx, IBL)

dan lain-lain (Berbuih mulut kalau disebut kesemuanya)

 

Namun begitu, perlu diingatikan bahawa anda perlu melakukan kajian terlebih dahulu, agar barang yang anda hantar tidak terkandas, lantas merugikan anda dan si penerima.

Berikut adalah perkara yang perlu tahu sebelum memiih syarikat shipping:-

1. Reliability-

Adakah syarikat ini bagus? Bagaimanakah servisnya? Berbaloikah saya menghantar barang menggunakan khidmat syarikat ini?

2.  Review-

Bagaimanakah status penghantar dahulu dalam syarikat ini? Adakah ia direkomen oleh seseorang yang anda kenali? Apakah rating servis syarikat ini?

3. Price-

Berapakah harga kos penghantaran? Adakah ia mengikut berat barangan (seperti GBP 5.00/kg) atau mengikut bilangan/ saiz kotak (seperti GBP 6.00 untuk kotak bersaiz 15’x12’x10’)?

4. Reputation-

Pernahkah syarikat itu mendapat anugerah? Adakah syarikat ini mempunyai repuatsi yang baik? Boleh dipercayai? Adakah syarikat ini terlibat dalam insiden utama?

5. Safety-

Bolehkah anda tahu pergerakan barang yang sedang dihantar itu? Adakah anda boleh menjejakinya? Bagaimana anda ingin tahu sekiranya barang sudah selamat sampai ke tangan penerima? Adakah barangan yang anda hantar bersifat mudah pecah (fragile)? Bagaimanakah saya ingin menghantar sesuatu yang penting (Contohnya dokumen rasmi, surat, cek, draf bank) dengan selamat?

6. Period-

Berapa lamakah tempoh shipping? Adakah berbaloi menggunakan express delivery?

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------



 

Akhir kata, keputusan terletak di tangan anda. Selidik dahulu syarikat/ kedai shipping tersebut.

Penulis berharap agar artikel ini dapat membantu pembaca seperti anda, atau mana-mana individu yang ingin menggunakan khidmat shipping di Kerajaan yang Bersatu (UK) (Malaysia pun juga! J )

 

Haniff Nasir,

17.10.2014

12:15 am, Ardwick, Manchester, UK
 

Tuesday 14 October 2014

~ DMD: Prolog ~


[ Prolog ]

Tap! Bam! Terjatuh daripada katil. Mungkin ekstrem sangat mimpinya malam tadi. Sambil mengesot matanya yang sepet, Yukiteru segera ke bilik air. Urus diri. Pagi ini yang sama seperti pagi-pagi yang lain.

Orangnya berbadan kecil, tidak tinggi atau terlalu rendah. Ala-ala Bruce Lee. Fizikalnya seperti seorang budak lelaki yang biasa. 160 centimeter, dan beratnya; tidak diketahui.  Anak tunggal kepada pasangan suami isteri Takamura dan Kanada.

“Zzz!Zzz!” Telefon Samsung Galaxy 3 miliknya bergetar. Mod senyap.  Tangannya mencapai ke butang ‘Kunci’. Dia menerima satu mesej. Tanpa disedari, mesej itulah yang bakal mengubah hidupnya.

*****

Selasa, 21 Julai 20XX.

Hari ini, aku berjaya membuat ‘dunk shot’ sekepul kertas ke dalam tong sampah bilik. Berita pagi ini penuh dengan kes jenayah. Lebih menakutkan, ia berhampiran dengan sekolahku. aku akan terserempak dengan Sato dan Daryl dalam perjalanan ke sekolah.

…..

*****

“Apakah ini? Adakah aku menulisnya dalam tidur?” bisik hatinya.

Seketika kemudian, matanya terpaku pada satu baris terakhir dalam mesej tersebut:

*****


Aku akan ditikam daripada belakang. Aku akan mati akibat kehilangan darah.

BAD END
*****
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Darah. Merah pekat warnanya. Pisau itu masih berlumuran dengan darah. Darah manusia.

“Jangan, jangan bunuh saya!” rayu seorang lelaki.

“Apa? Saya tak dengar.”

“Saya ada keluarga. Aaargh! Jang......” merupakan perkataan terakhir lelaki itu.
Darah memancut keluar daripada tekaknya.

“Selepas itu, siapa pula rakan sepermainan aku? Ha, hah, hahahaha!”

Lorong gelap itu penuh dengan darah. Dan pembunuh itu menghilangkan diri.

 

Friday 3 October 2014

~ Islam di UK ~

Assalamualaikum w.b.t.
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Selawat dan salam ke atas Nabi Junjungan Muhamad SAW, Penghulu segala Nabi.

*****

Berikut adalah salah satu bab bersiri untuk projek 'Studying in UK For Dummies: For Malaysian, By Malaysian (Fresher's Edition)'
#JSM 2 - BAB XX: ISLAM DI UK
 (Bahagian 1)
Hampir 59.5% daripada populasi United Kingdom adalah penganut Christian (terdapat pelbagai mazhab dalam agama Christian). Manakala, Islam adalah agama minority, iaitu sebanyak 4.4%.
Jadi, persoalan utama kepada warga Muslim British dan komuniti luar (seperti anda, pelajar antarabangsa di sini):
"Di manakah tempat solat, (masjid, surau, bilik solat atau musolla)?"
Lazimnya, Universiti di UK menawarkan bilik solat, atau bilik pelbagai kepercayaan, 'multi-faith prayer room'. Jadi, anda jangan terkejut apabila di dalamnya ada Rig Veda, naskah Bible dan kitab suci al-Quran dalam satu rak buku.
Waktu solat di sini berubah dengan ketara, kerana adanya 4 musim. Waktu Fajar dan Maghrib paling terkesan, sehinggakan ke pukul 2.30 pagi untuk Subuh dan 9.00 malam untuk Maghrib. Sesiapa yang berpuasa pada musim panas, akan merasai bahang dan kemanisan beribadat di siang hari, meskipun terpaksa berhempas-pulas dalam menunaikan qiamulail di malam hari.

Itu musim panas, Musim sejuk, siang pendek. Beza waktu Zuhur dan Asar adalah sekitar 2 jam. Asar pukul 3.45 petang, Maghrib pukul 6.00 petang. Nanti waktunya beralih ke hadapan untuk beberapa bulan akan datang. Maghrib pukul 5.00 petang. Amacam, terkejut?
Situasi ini juga berlaku di tempat awam. Hospital, kompleks beli belah, dan lapangan terbang. Ada kalanya anda terpaksa solat di bawah tangga (Saya sendiri pernah melakukannya!). Jangan khuatir, asalkan ada tempat untuk sujud, tahu di mana arah kiblat, keadaan sekeliling yang bersih dan suci, serta hati dan niat yang tenang; pasti solat itu menjadi perkara yang mudah.
Berbalik pula kepada kehidupan sebagai seorang pelajar...
Seawal jam 8-9 pagi, anda akan terkejar menaiki bas, atau berlari anak ke dewan kuliah. Boleh tunaikan solat dhuha sebelum jam 11.00 pagi. Sekiranya kuliah masih berjalan pada jam 12-2 (waktu Zuhur), jangan panik. Selalunya, pensyarah akan memberi rehat pada 10 minit terakhir sebelum jam seterusnya (yakni 12.50 tengah hari, 1.50 petang, dll). Gunakan peluang ini untuk pergi solat. Ingatlah, solat lebih penting daripada kuliah. Kerna keberkatan ilmu itu dating daripada-Nya.
Begitu juga halnya dengan kelas 4-6 petang. Take five kejap.
Sebagai contoh, terdapat 3 Universiti utama di Manchester: University of Manchester (UoM), Manchester Metropolitan University (MMU) dan University of Salford (UoS).
*****
Berikut adalah senarai masjid/ surau/ musolla/ prayer room di Manchester City Centre (sekitar Univesity dan City):
Islamic Academy. Tinggal kenangan.


1. Islamic Academy
Alamat lama: 19, Chorlton Terrace, Manchester, M13 9AJ (bersebelahan kedai kereta BMW)

EDIT: Sekarang, masjid ini sudah dirobohkan dan diambil alih oleh Manchester City Council. Ada sebuah surau yang disediakan buat kariah Islamic Academy, iaitu

Alamat baru: 4, Rudcroft Close, Manchester M13 9XT (garaj berwarna biru)

2. Al-Furqan Development Centre
Alamat: 42, Great Southern Street, Manchester, M14 4EZ

3. Manchester Central Mosque /Victoria Park Mosque
Alamat: 20, Upper Park Road, Victoria Park, Manchester, M14 5RU

4. Muslim Youth Development Centre
Alamat: Clydesdale House, 27, Turner Street, Manchester, M4 1DY

5. Shahjalal Mosque
Alamat: 1A, Eileen Grove, Manchester, M14 5WE

6. Turkish Mosque
Alamat: Helmshore Walk, Skerry Close, Ardwick, Manchester, M13 9TH


7. Sackville St Prayer Room
Alamat: Basement Floor, Sackville Street Building, UMIST Manchester (North Campus)

8. McDougal Prayer Hall

Alamat: Burlington Street, M15 6HQ (belakang Trinity High School)

9. Cavendish Prayer Room

Alamat: All Saints campus, Manchester Metropolitan University.

10. St Peter Chaplaincy

Alamat: Precinct Centre, Oxford Rd, Manchester M13 9GH (berhadapan Spar, Blackwell)

11. Markaz at-Taqwa
Alamat: 164A Plymouth Grove, Manchester, M13 0AF
*****
BGM:
1. Saujana- Sepohon Kayu
Haniff Nasir
03 Oktober 2014
(suntingan kedua 16 Oktober 2015)
0718
Ardwick, Manchester